‘Sampai hati bunuh anak ibu’

Oleh – Syeikh Baran


‘Sampai hati bunuh anak ibu’
Rozita (kiri) ketika bersemuka dengan Hairil Anaas (tiga dari kanan) yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini. – Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

“Sampai hati kamu bunuh anak ibu, anak ibu baik dengan kamu“.

Itu kekecewaan yang diluahkan Rozita Radzuan, 56, kepada menantunya, Hairil Anaas Abdullah, 37, ketika lelaki terbabit yang didakwa atas tuduhan membunuh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Gajah di sini hari ini.



Dalam keadaan longlai sambil dipapah ahli keluarga, ibu kepada Allahyarham Nisya Syahkila Shaharun, 32, itu tidak mampu menahan sebak mengenangkan perlakuan kejam lelaki tersebut terhadap anaknya.

“Sampai hati kamu, sanggup kamu bunuh anak ibu, Nisya baik, 32 tahun ibu jaga anak ibu,” ujar ibu kepada enam anak itu.

Hairil Anaas yang berpakaian baju-T biru dan tangan bergari itu bagaimanapun hanya mendiamkan diri sambil menundukkan kepala.

Terdahulu, Hairil Anaas yang merupakan penganggur didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nisya Syahkila di sebuah hotel di Batu Gajah antara pukul 7.30 pagi hingga 2 petang, 20 Jun 2024.



Tertuduh mengangkuk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button