‘Kamu pernah dihukum sebelum ini, kenapa masih buat perkara sama?’

Oleh – Syeikh Baran


'Kamu pernah dihukum sebelum ini, kenapa masih buat perkara sama?'
TERTUDUH (tengah) dipenjara 10 tahun dan enam sebatan. FOTO Alias Abd Rani

“Kamu pernah dihukum sebelum ini, kenapa masih buat perkara sama? Kamu tak rasa bersalah ke merogol kanak-kanak itu yang juga anak rakan kamu? Sepatutnya kamu buat anak rakan macam anak kita sendiri.”

Itu teguran Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan terhadap duda atas pertuduhan merogol anak rakannya pada tahun lalu.



Tertuduh, Muhammad Firdaus Maula Abdul Rahman, 26, yang sebelum ini pernah diperintahkan menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney pada 2015 atas kesalahan sama, mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya hari ini.

Prosiding di Mahkamah Sesyen pada hari ini sepatutnya permulaan perbicaraan kes tertuduh sebaliknya bekas pekerja ladang agro itu memilih untuk menukar pengakuan kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak rakannya yang berusia 13 tahun ketika kejadian di rumah mangsa di Batu Pahat, pada 11 malam 11 Januari tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia sekali lagi mengulangi perkara itu terhadap mangsa pada 12.30 tengah malam, 23 Januari tahun lalu dengan kejadian ini juga berlaku di rumah sama.



Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengenali bapa mangsa dan ke rumahnya pada hari pertama kejadian di mana ketika itu semua ahli keluarganya tiada kerana ada urusan di luar.

Kejadian kedua pula berlaku apabila tertuduh sekali lagi ke rumah mangsa dan berbual dengan bapanya.

Tertuduh kemudian mengambil peluang mengulangi perbuatan itu sebaik ahli keluarganya sedang tidur.



Namun, perbuatan itu terbongkar apabila bapa mangsa berjaya menahan tertuduh yang ketika itu sedang melakukan perkara tidak senonoh terhadap mangsa dalam biliknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kepentingan awam serta kesalahan dilakukan serius kerana membabit kanak-kanak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditahan pada 26 Januari tahun lalu.



Pada masa yang sama, mahkamah memerintahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman serta pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman penjara selari dengan Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button