Sembunyi syabu dalam timbunan tanah
Oleh – Syeikh Baran
Sembunyi dadah dalam guni timbunan tanah dan hantar menggunakan khidmat kurier antara modus operandi yang berjaya dibongkar pihak polis baru-baru ini.
Dalam serbuan lima hari bermula 27 Jun lalu, polis memberkas empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 34 hingga 48 tahun yang bertindak sebagai transporter.
Turut dirampas pelbagai jenis dadah seperti syabu, heroin dan ganja dengan berat keseluruhan 88.2 kilogram bernilai RM1.97 juta.
Mereka ditahan menerusi serbuan di sekitar Puchong Jaya, Ampang dan Sungai Buloh.
“Terdapat dalam kalangan transporter itu bekerja sebagai penghantar barang.
“Mereka menggunakan lori untuk menghantar tujuh guni plastik tanah yang disembunyikan 56 bungkusan teh cina berisi syabu seberat 57.6 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati penghantaran dadah itu adalah kali pertama dilakukan pasangan tersebut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap pasangan suami isteri itu. Mereka diarahkan mengambil dadah itu dari Serdang Jaya ke Puchong Jaya berdasarkan aplikasi kurier,” katanya.
“Kesemua dadah yang dibawa suspek-suspek tersebut adalah bagi pasaran sekitar Lembah Klang.
“Mereka daripada tiga sindiket berbeza dengan bekalan dadah diperoleh dari negara di utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
Ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah tetra hydrocannibol (THC) dan mempunyai rekod kes jenayah dan dadah.
“Mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber – KOSMO!ONLINE