Zahihuddin, Luqman, Shukram scam jual lot tanah di KB
Oleh – Syeikh Baran
Tiga lelaki termasuk dua beradik diburu bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan melibatkan penjualan lot tanah seluas 0.53 hektar bernilai RM320,000 di Mukim Guntong, Kota Bharu dekat sini kepada seorang wanita pada tahun lalu.
Tiga individu tersebut ialah Mohamed Zahihuddin Mohamed, 43, Luqman Nurhakim Perma Suria (36) dan Mohamad Shukram Perma Suria (28).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang terlibat dalam kes itu merupakan seorang wanita berusia 53 tahun yang juga pengusaha batik.
Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa, kejadian itu berlaku pada Januari tahun lalu selepas membuat pembelian sebuah lot tanah di Mukim Guntong, Kota Bharu.
“Wanita itu melakukan urusan pembelian tanah tersebut dengan bantuan suaminya berusia 65 tahun bagi membuat pembayaran tunai sebanyak RM320,000 kepada seorang penjual di sebuah bank.
“Selepas pembayaran dilakukan, mangsa menerima satu geran asal tanah berserta satu salinan borang yang tertera atas nama seorang individu lain dan surat sumpah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) di Dewan Kompleks Perpaduan Daerah Machang, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, mangsa kemudiannya pergi ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu untuk urusan memindah milik tanah tersebut kepada suaminya pada 3 Ogos tahun lalu.
Menurutnya, bagaimanapun, Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu memaklumkan bahawa tanah tersebut telah dipindahkan ke atas nama individu lain.
“Mangsa yang merasakan dirinya terpedaya dalam urusan berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian, Kota Bharu.
“Sehubungan itu, polis sedang memburu ketiga-tiga lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut,” ujarnya.
Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber – KOSMO! ONLINE