Isteri heret suami leka berduet turun pentas
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita mengamuk di sebuah majlis selepas suaminya naik ke pentas untuk menyanyi bersama gadis lain, lapor portal berita Merdeka semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @rudii.wtp, lelaki berbaju batik itu dilihat memegang mikrofon untuk berduet bersama seorang penyanyi wanita muda.
Tidak lama kemudian, isteri kepada lelaki itu bergegas naik ke pentas lalu memukul tangannya.
Dia turut menarik tangan suaminya untuk turun dari pentas itu.
Lebih mengeruhkan keadaan adalah apabila dia memarahi pengacara majlis sehingga mengejutkan semua penonton dan penyanyi tersebut.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen mengaku terhibur dengan tindakan wanita itu.
“Tidak perlu menghukum, malah si isteri melindungi suami daripada dekat dengan perempuan lain di atas pentas,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Sebagai seorang isteri, mesti ada perasaan cemburu,” kata pengguna lain.
“Kepada yang merasa kasihan dengan si suami, dia tidak menjaga perasaan isterinya yang memasak setiap hari. Sebelum isteri mengamuk, seharusnya suami fikirkan dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan,” kata netizen lain. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE