Lelaki ditahan pandu kenderaan dikehendaki polis berkait kes samun

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki ditahan pandu kenderaan dikehendaki polis berkait kes samun
LELAKI warga Indonesia yang ditahan polis. Gambar kiri, kereta Proton Gen 2 dirampas. FOTO Ihsan Polis

Seorang lelaki warga Indonesia ditahan dalam sekatan Jalan Putra, Tasek Tambahan, di sini, semalam, kerana memandu kenderaan yang dikehendaki berkait dengan kes samun di Pandan Indah, selain tidak memiliki lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan dibuat anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya yang menjalankan tugas sekatan jalan raya di lokasi itu, pada 9 malam.



“Ketika penugasan dijalankan, polis menahan dan memeriksa Proton Gen 2 yang dipandu lelaki itu yang bekerja sebagai buruh dan pemeriksaan mendapati pemandu itu tidak memiliki lesen memandu.

“Pemeriksaan lanjut menggunakan Mcops terhadap nombor pendaftaran kereta dipandu lelaki itu, terdapat status (kenderaan) dikehendaki berkait laporan di Balai Polis Pandan Indah mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu bersama dengan kenderaan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dibuat dan kes diklasifikasikan dan dirujuk mengikut seksyen yang sama.



“Tangkapan bersama kenderaan diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button