3 didakwa culik lelaki Bangladesh tuntut RM200,000
Oleh – Syeikh Baran
Dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang lelaki Bangladesh, 21 Jun lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu Md Jalis Mahamud, 29, Md Mamun Hosen, 22 dan Khang Khin Tun, 26, ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi kerana kesemua mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh dengan niat bersama telah menculik Mohamad Kabir Husin dengan tujuan menuntut wang tebusan berjumlah 5 juta Bangladesh Taka atau bersamaan RM200,000.
Pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes dengan kehadiran jurubahasa bahasa Bangladesh dan Myanmar dan tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.
Sumber – KOSMO! ONLINE