DUN Selangor: Dedah segera siapa serang Faisal Halim

Oleh – Syeikh Baran


DUN Selangor: Dedah segera siapa serang Faisal Halim
Faisal Halim

Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan supaya segera mendedahkan siasatan terkini termasuk pelaku kejadian simbahan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim dan dua lagi pemain lain.

Perkara itu antara yang dibangkitkan dalam usul mengecam keganasan terhadap atlet Selangor yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas mendapat sokongan penuh daripada kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang.



Abbas Salimmi Che Adzmi (PH-Seri Sedang) yang membawa usul itu menyatakan semua pihak tidak mahu perkara menimpa Faisal Halim dan dua pemain bola sepak lain berulang kepada mana-mana atlet sukan lain.

Tegas beliau, Selangor dikenali sebagai kilang yang melahirkan banyak atlet berwibawa dan tidak mahu kehilangan mana-mana pemain apatah lagi akan berdepan Sukma (Sukan Malaysia) tidak lama lagi.

“Isu ini sangat serius dan mereka (atlet) merupakan aset yang mengharumkan nama negeri dan negara.

“Saya juga seru kepada PDRM. Kita yakin kredbiliti PDRM yang sangat efisyen namun tolong segerakan siasatan dan dedahkan kepada masyarakat supaya kita tahu mengapa berlakunya kejadian itu dan siapa pelakunya,” katanya.



Bagi Muhammad Hilman Idham (PN – Gombak Setia) pula menegaskan Dewan DUN harus mendesak pihak PDRM untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh, tegas dan profesional tanpa sebarang kompromi.

“Gombak Setia juga mendesak PDRM untuk memberi maklum balas kepada khalayak umum berhubung status siasatan kes sehingga hari ini. Mengapa sehingga hari ini belum ada pendakwaan dibuat.

“Sekiranya kes ini berlarutan tanpa sebarang tindakan, saya bimbang trend jenayah keganasan seperti ini akan terus berlaku melibatkan tokoh-tokoh yang lebih besar dan terkemuka pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi ketika penggulungan perbahasan menyatakan kerajaan negeri menolak sebarang budaya keganasan terhadap mana-mana atlet sukan.



“Kita harus pastikan pihak berkuasa terus mengambil tindakan dan menjalankan siasatan serta memberikan pemakluman status terkini bukan sahaja melibatkan Faisal Halim malah semua atlet yang mengalami insiden tersebut baru-baru ini.

“Polis harus tampil dengan telus kerana sehingga hari ini iaitu sejak 5 Mei (kes Faisal Halim) tiada sebarang perkembangan pihak berkuasa mengenai kes itu,” katanya.

Sumber – KOSMO!ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button