PDRM akan diberi kuasa sita wang dalam akaun keldai – Azalina

Oleh – Syeikh Baran


PDRM akan diberi kuasa sita wang dalam akaun keldai – Azalina
Gambar Hiasan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diberi kuasa untuk mengarahkan penyitaan wang di dalam akaun bank disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah dan ‘akaun keldai’ (mule account).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas peruntukan baharu diperkenalkan di bawah cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024.



Menurutnya, dalam hubungan ini, pengenalan peruntukan undang-undang khusus lebih efektif akan membantu agensi penguat kuasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

“Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan dasar dan cadangan RUU untuk meminda Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah berhubung kesalahan jenayah dalam talian berhubung akaun keldai dan prosedur berkaitan untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi mesyuarat kali ini.

“Cadangan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 ini melibatkan pengenalan peruntukan khusus berkaitan dengan penggunaan mule account,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, cadangan pindaan ini antara lain, akan memperuntukkan kesalahan sekiranya mana-mana orang tanpa kuasa atau tujuan yang sah didapati memiliki instrumen pembayaran orang lain.

“Ini termasuk memperuntukkan juga kesalahan sekiranya mana-mana orang tanpa kuasa ataupun tujuan yang sah membenarkan instrumen pembayarannya digunakan oleh orang lain,” jelasnya.



Tambah Azalina, cadangan pindaan kepada Akta 574 adalah diperlukan pada masa kini bagi memastikan ia selari dengan kepantasan perkembangan dan kecanggihan teknologi pada ketika ini terutama yang sering digunakan serta disalah guna oleh penjenayah.

“Kerajaan berharap usaha ini dapat sokongan semua ahli Parlimen kedua-dua pihak dalam memastikan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat negara ini adalah terjamin,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button