Penjawat awam terima ganjaran RM100,000 lapor kes rasuah
Oleh – Syeikh Baran
Seorang kakitangan awam pernah menerima ganjaran tertinggi RM100,000 kerana melaporkan perbuatan rasuah, kata Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Tarmize Abdul Manaf.
Beliau berkata, ganjaran itu diberikan susulan surat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011 bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’.
“Inisiatif kerajaan ini bertujuan menggalakkan penjawat awam untuk melaporkan rasuah, seterusnya mengiktiraf mereka yang mempamerkan integriti tinggi dalam menangani tawaran rasuah.
“Melalui surat pekeliling itu juga penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan,” katanya.
Katanya, nilai ganjaran adalah bergantung kepada nilai rasuah yang ditawarkan dan dalam kebanyakan kes, nilai ganjaran adalah sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan.
“Sehingga hari ini, 514 penjawat awam menerima pengiktirafan ini. Jumlah ganjaran yang diberin adalah sebanyak RM1,035,363.
“Selain itu, penjawat awam itu akan diberikan sijil penghargaan dan mereka boleh dipertimbangkan pencalonan anugerah pingat peringkat persekutuan atau negeri,” jelasnya.
Berdasarkan data SPRM, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia paling ramai menerima pengiktirafan itu iaitu 349 orang melibatkan nilai ganjaran RM495,268.
Jabatan Imigresen Malaysia pula 53 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (25), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (17) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (11).
Sumber – KOSMO! ONLINE