Kerjasama BN, PH pada PRU16 akan diputuskan Dewan Tertinggi BN

Oleh – Syeikh Baran


Kerjasama BN, PH pada PRU16 akan diputuskan Dewan Tertinggi BN
MOHAMAD ditemui pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 di Seremban hari ini. – Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

Kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan ditentukan selepas ia dibawa ke peringkat Dewan Tertinggi parti itu untuk dibincangkan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), apa juga keputusan perlulah dicapai hasil konsensus kesemua parti tersebut.



Menurutnya, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membawanya ke peringkat jawatankuasa tertinggi BN untuk dibincangkan dan seterusnya mencapai keputusan terbaik.

“Apa juga keputusan yang dibuat dalam BN merupakan keputusan konsensus, keputusan bersama, jadi selagi belum ada mesyuarat daripada jawatankuasa tertinggi kepemimpinan BN, banyak andaian orang boleh lakukan dan buat.

“Tetapi akhir ceritanya nanti apa yang diputuskan dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi BN itulah yang akan menjadi sebagai dasar parti BN untuk kita sama ada menghadapi pilihan raya ataupun apa juga dasar lain,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 di sini hari ini.



Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16 bagaimanapun kedua-dua parti itu akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button