Curi kabel, pecah rumah sebab mahu beli dadah

Oleh – Syeikh Baran


Curi kabel, pecah rumah sebab mahu beli dadah
HUSSIN menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan geng curi kabel dan pecah rumah dalam serbuan Khamis lalu di Kampung Sungai Rinting, Masai, Pasir Gudang

Kegiatan sekumpulan lima penjenayah termasuk seorang wanita yang aktif mencuri kabel dan pecah rumah di sekitar daerah ini tumpas apabila mereka diberkas dalam serbuan di Kampung Sungai Rinting, Masai, Pasir Gudang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dengan penahanan kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan curi kabel di sekitar daerah Kota Tinggi.



Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan itu melakukan jenayah berkenaan untuk mencari wang bagi membeli dadah.

“Bertindak atas maklumat Op Pintu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Tinggi telah melakukan serbuan di sebuah rumah dan menahan lima suspek serta merampas barang kes yang disyaki hasil daripada kegiatan curi kabel dan pecah rumah sekitar daerah ini.

“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta positif dadah dalam saringan air kencing dilakukan. Salah seorang suspek juga mempunyai tatu pada lengan yang disyaki merupakan ahli salah satu kumpulan kongsi gelap,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Tinggi, hari ini.

Hussin berkata, siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai sudah enam bulan aktif melakukan jenayah tersebut yang mana mensasarkan kawasan rumah teres dan rumah-rumah di sekitar daerah ini.



Katanya, antara barangan yang dicuri seperti mesin rumput, mesin grinder, kabel dan peralatan yang bernilai serta boleh pulangan baik jika dijual semula.

“Modus operandi mereka adalah mensasarkan rumah yang kosong, melakukan aktiviti pada waktu malam ketika mangsa sedang tidur dan barangan yang dicuri kebanyakan diletak dibahagian luar rumah mangsa seperti stor.

“Siasatan awal mendapati mereka mencuri dan jual semula bagi mendapatkan hasil untuk membeli dadah. Kita yakin dengan tumpasnya kumpulan ini akan ada lagi beberapa laporan akan buat,” katanya lagi.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selamat empat hari bermula 4 Julai hingga hari ini dan permohonan reman telah dibuat untuk membantu siasatan lanjut.



Jelasnya kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button