Esha buat laporan buli, tidak sempat beri keterangan

Oleh – Syeikh Baran


Esha buat laporan buli, tidak sempat beri keterangan
\Gambar Hiasan

Polis mengesahkan menerima dakwaan daripada seorang pempengaruh yang didakwa menjadi mangsa buli siber sebelum meninggal dunia di sebuah kondominium di Setapak, di sini Jumaat lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha, 30, pada Khamis lalu sehari sebelum wanita tersebut dilaporkan meninggal dunia.



Walau bagaimanapun polis tidak dapat membuka kertas siasatan ekoran mangsa tidak dapat hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan buli itu yang dibuat oleh mangsa di Balai Polis Sentul.

Katanya, pihaknya telah meminta pengadu untuk memberikan keterangan, namun dia belum tampil.

“Kejadian kematian itu berlaku di Setapak pada Jumaat (keesokan harinya) dan sehingga kini pengesahan (kes buli siber) tidak dapat dibuat kerana pengadu tidak memberikan keterangan.

“Oleh itu tidak dapat dipastikan sama ada kematiannya disebabkan isu TikTok atau disebabkan orang lain untuk setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!



Jelas beliau, siasatan bagaimanapun diteruskan pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju termasuk memanggil saksi terlibat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan dan kes kematian wanita tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Jelasnya, wanita berusia 30 tahun itu ditemui dalam keadaan tergantung pada pukul 2.25 petang, Jumaat lalu di sebuah Kondominium di Setapak.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan kes seorang pempengaruh TikTok, Rajeswary Appahu yang didakwa mati bunuh diri selepas dibuli siber telah dirujuk kepada polis untuk siasatan.

Jelas Fahmi, walaupun mangsa sebelum ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aduan itu tidak berkaitan dengan insiden buli siber yang dipercayai menyebabkan kematiannya.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button