Mamat Exists didenda RM5,000 ambil syabu

Oleh – Syeikh Baran


Mamat Exists didenda RM5,000 ambil syabu
MAMAT Exist didenda RM4,000 selepas mengaku salah ambil syabu lima tahun lalu. – GAMBAR FAIL

Bekas vokalis Exists, Mamat didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Johor Bahru, di sini hari ini atas dua kesalahan iaitu memasukkan dadah ke dalam badan dan memiliki dadah pada 2019.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 47, turut diperintahkan untuk menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.



Dua pertuduhan yang dikenakan terhadap penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Untukmu Ibu’ dibuat dibuat di mahkamah berasingan.

Bagi pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan di Mahkamah Sesyen, Mamat mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar denda RM4,000 atau menjalani penjara dua tahun serta menjalani tempoh pengawasan di bawah AADK selama dua tahun.

Bagaimanapun, bekas penyanyi kumpulan Rock 90an itu menjelaskan bayaran denda yang dikenakan.



Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan, Mamat didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada pukul 2 pagi, 9 September 2019.

Mamat yang pernah popular dengan kumpulan rock 90-an itu juga mempunyai kesalahan berulang mengambil dadah pada tahun 2016 dan 2018.

Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.



Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Mamat dijatuhi hukuman denda RM1,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin atas pertuduhan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan pada di Taman Perling pada pukul 11.35 malam, 8 September 2019.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.



Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan menerusi peguamnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button