Pekebun rugi RM80,000 dirompak 10 lelaki bertopeng menyamar polis

Oleh – Syeikh Baran


Pekebun rugi RM80,000 dirompak 10 lelaki bertopeng menyamar polis
Lokasi kejadian rompakan di sebuah bangsal kebun tembikai di Kampung Lepan Anjung, Dabong dekat Kuala Krai hari ini. FOTO IHSAN POLIS

Seorang pekebun tembikai kerugian hampir RM80,000 termasuk kehilangan sebuah trak pikap selepas dirompak 10 lelaki bertopeng yang menyamar sebagai anggota polis di sebuah rumah bangsal kebun tembikai Kampung Lepan Anjung, Dabong di sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi tadi semasa mangsa yang berusia 40 tahun berada di bangsal tersebut seorang diri.



Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, mangsa didatangi seramai 10 lelaki memakai topeng muka yang bertindak menendang pintu dan menceroboh masuk bangsal tersebut.

Menurutnya, suspek terlibat kemudian memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

“Salah seorang suspek memegang objek menyerupai sepucuk pistol. Suspek terlibat juga bertindak mengacukan parang ke leher mangsa sebelum memaklumkan lelaki itu telah melakukan kesalahan jenayah dan perlu ditangkap.

“Tangan mangsa digari ke belakang manakala kakinya diikat dengan tali,” katanya ketika dihubungi hari ini.



Mazlan memberitahu, suspek telah mengambil barangan mangsa iaitu wang tunai kira-kira RM 7,000.00, sebuah telefon pintar dan dua unit jam tangan.

Menurutnya, selain itu, kesemua suspek turut membawa lari sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux milik pekebun itu, sebuah basikal elektrik dan sebuah mesin gergaji.

“Kerugian yang dialami oleh mangsa dianggarkan kira-kira RM 80,000.

“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-2435 9850 atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai bagi membantu siasatan,” ujarnya.



Tambah Mazlan, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button