Suami isteri jadi penyamun kena cekup di Subang

Oleh – Syeikh Baran


Suami isteri jadi penyamun kena cekup di Subang
Antara barangan yang dirampas disyaki hasil pecah rumah sekitar Subang Jaya.

Dua pasangan suami isteri termasuk seorang lelaki tempatan dicekup kerana terlibat dalam lebih 15 kes pecah rumah di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kes pecah rumah daripada wanita tempatan berusia 46 tahun, Khamis lalu.



Ketika kejadian, mangsa keluar dari rumahnya di Puchong pada pukul 8.35 pagi untuk ke tempat kerja sebelum pulang pada 12.30 tengah hari.

“Semasa tiba di rumah, mangsa mendapati pintu pagar dirosakkan dan bingkai besi pintu utama telah diumpil. Rumah pula berada dalam keadaan berselerak.

“Mangsa mendapati barangan berharga dan wang tunai miliknya serta keluarga hilang. Kerugian dianggarkan RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan memaklumkan, Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya kemudian menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 32 tahun.



Jelas beliau, serbuan pada pukul 8 malam di sekitar Lembah Klang itu mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah.

“Polis turut merampas sebahagian barang kes seperti jam tangan dan beg tangan wanita. Hasil soal siasat, polis berjaya menyelesaikan lebih 15 kes pecah rumah di daerah ini,” katanya.

Wan Azlan memberitahu, kesemua suspek direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksuen 457 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah diminta untuk tampil membantu siasatan,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button