Ada pihak secara terbuka sebar ajaran sesat di media sosial

Oleh – Syeikh Baran


Ada pihak secara terbuka sebar ajaran sesat di media sosial
Mohd. Na’im bersama Ali Muhyiddin bersalaman dengan peserta Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah 2024 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. – Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/KOSMO!

Mutakhir ini terdapat pihak-pihak tertentu yang secara terbuka mengajarkan ajaran sesat dan menyeleweng akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dengan pelbagai bentuk penghinaan kepada agama Islam melalui media sosial seperti YouTube, Facebook, X, TikTok dan sebagainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, situasi itu sekiranya tidak dibendung berpotensi mengancam kesejahteraan dan kestabilan akidah umat Islam.



Menurutnya, bahkan ia juga boleh menimbulkan ketidakharmonian serta mengganggu ketenteraman masyarakat awam secara keseluruhannya dalam negara ini.

“Justeru, menjadi tanggungjawab dan peranan pihak berwajib merangka, menyusun dan melaksana program dan aktiviti yang boleh menyuburkan lagi pengukuhan akidah umat Islam selaras akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sewajibnya dijiwai dan dipahat kukuh dalam sanubari segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda supaya mampu menjadi generasi yang rabbani,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan bertemakan ‘Merungkai Rahsia Di Sebalik Fenomena Akhir Zaman’, di Dewan Syarahan Masjid Negara, di sibi hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Dr. Ali Muhyiddin Ali Qaradaghi yang turut memberikan ucaptama.

Mohd. Na’im berkata, amat mustahak kepada agensi hal ehwal Islam untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan lain-lain pihak untuk memperkukuh kekuatan dan strategi.

“Ini bagi memastikan kita dapat menangkis dan mematahkan serangan dan dakyah untuk menghancurkan kekuatan akidah umat Islam.

“Undang-undang berkaitan ancaman ke atas akidah umat Islam harus diperkasakan dan aspek penguatkuasaan perlu dipertingkatkan,” katanya.



Beliau berkata, perkara berkaitan pembanterasan ajaran sesat dan menyeleweng juga adalah sebahagian titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan.

“Baginda bertitah, agensi kerajaan digesa meningkatkan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat serta menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat.

“Titah ini perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan seluruh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.

“Masyarakat juga perlu didedahkan dengan kewujudan fatwa-fatwa berkaitan ajaran salah yang telah diwartakan,” katanya.



Tegasnya, kriteria dan modus operandi ajaran sesat perlu disebarkan untuk maklumat awam supaya masyarakat dapat mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan ajaran yang menyeleweng selain melindungi keutuhan akidah serta keharmonian sosial.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button