Lelaki Danok dituduh seleweng petrol

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki Danok dituduh seleweng petrol
Suwit dituduh memiliki 280 liter petrol tanpa lesen sah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini

Seorang lelaki Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 280 liter petrol tanpa lesen sah, minggu lepas.

Suwit Sake, 34, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Thai di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.



Mengikut pertuduhan, Suwit yang berasal dari Danok, Thailand dituduh memiliki petrol sebanyak 280 liter di tepi jalan berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Laka Temin di Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada pukul 3.50 pagi, 3 Julai lepas.

Barang kawalan berjadual itu ditemui dalam tangki tambahan di bahagian bawah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dipandu tertuduh dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Hilmi Abu Hassan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button