Nyaris maut dihempap kayu balak bergolek di lampu isyarat

Oleh – Syeikh Baran


Nyaris maut dihempap kayu balak bergolek di lampu isyarat
Keadaan motosikal mangsa selepas dihempap kayu balak dibawa sebuah lori di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang hari ini.

Seorang wanita terselamat daripada ajal selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dari sebuah lori ketika melalui selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.23 pagi itu, mangsa, Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.



Mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang di sini.

Menurut tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, dia menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada rakan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Katanya, dia bergegas ke hospital untuk melihat keadaan mangsa selepas menerima maklumat mengenai kemalangan itu.

“Saya sempat melihat keadaan tunang yang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Gua Musang dan doktor memaklumkan keadaannya masih tidak stabil.



“Saya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. Saya mengharapkan doa daripada orang ramai supaya tunang selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button