Rakan baik sendiri jadi dalang penculikan di Myanmar
Oleh – Syeikh Baran
Bukan sahaja ditipu rakan lama, tetapi seorang lelaki rakyat tempatan turut mendakwa diperdaya sehingga menjadi mangsa culik di Maesot, Myanmar.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Law, 37, adalah rakyat Malaysia terbaharu yang berjaya diselamatkan Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) dan dibawa pulang dengan selamat ke tanah air.
Law ketika ditemui sebaik tiba di di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berkata, kisah gelapnya bermula apabila dihubungi rakan lama yang dikenalinya lebih 10 tahun pada April lalu.
“Ketika itu, dia (rakan lama) mengajak saya keluar dan belanja makan sebelum ajak saya pergi ke Bangkok untuk menghadiri upacara keagamaan sambil bercuti.
“Saya setuju dengan ajakan kerana dia (rakan) menawarkan untuk menguruskan semua perbelanjaan saya ketika di sana.
“Walaupun dia tidak menyediakan tiket pulang ke Kuala Lumpur, saya tetap meneruskan perjalanan itu dengan menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Mei lalu,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di Bangkok, rakan memintanya untuk menaiki kereta dan memberinya minuman sebelum pengsan.
Jelasnya lagi, apabila sedar, dia mendapati dirinya berada di sebuah kawasan kampung di Maesot, Myanmar.
Law berkata, apabila tiba di sebuah rumah, empat lelaki China serta seorang lelaki Malaysia memintanya supaya menghubungi isteri dan meminta wang tebusan daripada isteri sebanyak RM50,000.
Katanya, ketika berada di sana, dia kerap dipukul menggunakan kayu dan besi selain dikelar di leher serta tangan bersama beberapa lagi mangsa lain.
“Saya bernasib baik apabila berjaya melarikan diri dan bertemu seorang askar Myanmar. Saya diberi perlindungan oleh askar berkenaan selama dua minggu sebelum wakil MHO tiba dan membawa saya ke Bangkok untuk pulang ke Kuala Lumpur.
“Saya pernah cuba menghubungi rakan saya itu tapi gagal dihubungi. Saya akui sakit hati apabila memikirkan dalang penculikan saya adalah rakan saya sendiri,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE