6 kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu kekal

Oleh – Syeikh Baran


6 kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu kekal
Muhyiddin bersama sebahagian Ahli Parlimen pembangkang pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini. – Foto Japen

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam bekas Ahli Parlimen parti tersebut yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tan Sri Johari Abdul selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen terbabit dikosongkan.



Katanya, keputusan tersebut diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran petang semalam.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bahawa partinya memutuskan untuk mengambil langkah susulan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti.

“Keputusan itu diambil selepas Bersatu menerima surat daripada Johari yang menyatakan, tidak berlaku kekosongan enam kerusi bekas ahli Bersatu di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan ini amat mengecewakan kerana jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.



“Keputusan Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat) memberikan alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan beliau mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar menjunjung dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Muhyiddin merujuk Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika seseorang wakil rakyat tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.

Jelasnya, di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, sebarang pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.

“Jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan perlembagaan Bersatu.



“Bersatu memutuskan enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya. Pentafsiran Bersatu terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoal,” katanya.

Sumber -KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button