Bapa Baby Syifaa positif dadah ketika ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Bapa Baby Syifaa positif dadah ketika ditahan
Gambar Hiasan

Bapa kepada Baby Syifaa yang ditahan polis semalam berkaitan kes penipuan dalam urusan yuran guaman didapati positif dadah.

Hasil ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.



Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerima beberapa laporan polis yang dibuat beberapa individu yang menjadi mangsa berhubung penipuan berkaitan kutipan bagi bayaran guaman pada tahun lalu.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa berurusan dengan suspek yang mengaku sebagai orang tengah dalam urusan guaman.

“Bayaran dibuat kepada suspek namun kesemua mangsa merasa tertipu selepas mendapati wang itu digunakan untuk kegunaan peribadi.

“Sehubungan itu, tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan jumlah kerugian adalah lebih kurang RM146,087,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, polis kemudian menyerbu sebuah unit kediaman di Wangsa Maju dan menahan suspek berusia 41 tahun serta merampas dua telefon bimbit.



“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine.

“Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan bapa kepada Baby Syifaa ditahan polis petang semalam berkaitan kes penipuan dalam urusan yuran guaman.
 
Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button