Kakitangan JTK Seremban didakwa terima suapan bernilai RM58,720

Oleh – Syeikh Baran


Kakitangan JTK Seremban didakwa terima suapan bernilai RM58,720
MASHITAH didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM58,720 berkaitan tindakan penguatkuasaan kes tuntutan syarikat dan bekas pekerja. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP/ KOSMO!

Seorang Penolong Pegawai Perhubungan Perusahaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Seremban didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 13 pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM58,720 berkaitan tindakan penguatkuasaan kes tuntutan syarikat dan bekas pekerja.

Tertuduh, Mashitah Abdul Rahim, 39, yang hadir ke mahkamah dengan berjubah hitam dan berpurdah bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.



Berdasarkan 13 pertuduhan itu, Mashitah didakwa secara rasuah menerima satu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai dan wang secara pindahan dalam talian ke akaun bank miliknya bernilai antara RM1,000 hingga RM13,760 daripada 12 individu termasuk bekas pekerja, pengarah dan pengurus syarikat.

Ia sebagai suatu dorongan untuk tidak melakukan tindakan penguatkuasaan berkaitan dengan kes tuntutan oleh kesemua individu berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Tenaga Kerja Seremban, Negeri Sembilan di Wisma Persekutuan, Jalan Dato’ Abdul Kadir di sini sekitar Disember 2020 hingga 25 April 2023.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.



Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi semua 13 pertuduhan dengan syarat tambahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kesemua 13 pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Seremban setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button