Kes buli Esha: Suspek disambung reman dua hari lagi

Oleh – Syeikh Baran


Kes buli Esha: Suspek disambung reman dua hari lagi
Mendiang Esha ketika sering memuat naik video dan membuat siaran langsung menerusi TikTok

Seorang wanita tempatan yang ditahan berkait kes ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap seorang pempengaruh media sosial Rajeswary Appahu, 30, atau digelar ‘Esha’, disambung reman dua hari lagi selepas ditahan Isnin lalu.

Difahamkan, wanita itu sebelum ini diberkas polis sekitar Rawang, Selangor, awal pagi Isnin.



Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan wanita terbabit disambung reman dua hari sehingga Jumaat ini.

“Kita masih menunggu jawapan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi semakan maklumat butiran diri pemilik akaun lain yang terlibat.

“Setakat ini, seramai sembilan saksi sudah beri keterangan dan kita jangkakan akan ada saksi lain yang akan dipanggil,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Terdahulu Kosmo! melaporkan polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun berkenaan ugutan dibuat di aplikasi TikTok terhadap Esha.



Katanya, siasatan polis mendapati pengadu telah terlihat dua hantaran di aplikasi tersebut dibawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha mengenai fitnah dan ugutan terhadap Esha, pada 30 Julai lalu.

“Kedua-dua akaun TikTok tersebut telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

“Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) selain menggunakan kata-kata kesat sertalucah,” ujarnya.

Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis namun disyaki telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok tersebut.



Tambah Ahmad Sukarno, kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button