Kod QR punya pasal!

Oleh – Syeikh Baran


Kod QR punya pasal!
Gambar Hiasan

Gara-gara mencederakan penebar roti canai kerana berang lelaki itu tidak membawa imbasan kod QR untuk membuat bayaran seorang kelindan lori didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Mathen Kumar, 26, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.



Sekiranya Mathen gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara sebulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas Suresh Muthaiah, 39, yang merupakan warga India itu di sebuah restoran di Bandar Kinrara di sini pukul 5.45 pagi pada 27 Jun lalu.

Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Mathen.



Namun peguam Suthes Perumal yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menanggung dua anak dan ibu yang uzur.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu sedang bekerja, dua pelanggan dalam keadaan mabuk telah memanggilnya untuk membuat pembayaran menggunakan imbasan kod QR.

Bagaimanapun pembayaran menggunakan kod itu hanya boleh dibuat di kaunter kerana ia ditampal di situ.

Ekoran itu telah menyebabkan tertuduh marah lalu mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menghempas kerusi dan mengejar serta menumbuk pengadu di bahagian leher.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button