Lembu hilang rupanya disembelih, daging diagih kepada penduduk

Oleh – Syeikh Baran


Lembu hilang rupanya disembelih, daging diagih kepada penduduk
Gambar Hiasan

Seorang wanita warga emas dan lelaki Indonesia diberkas polis selepas dipercayai telah menyembelih seekor lembu milik penternak lain gara-gara haiwan itu didakwa merosakkan kebun durian di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong.

Kedua-dua suspek berusia 69 tahun dan 30-an itu turut dipercayai telah mengagihkan daging ternakan tersebut kepada penduduk kampung berkenaan.



Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu terbongkar selepas pengadu yang juga penternak berusia 38 tahun menemui kepala lembu ternakannya yang hilang di kebun berkenaan, Jumaat lalu.

Katanya, pengadu mengesahkan bangkai itu adalah ternakan miliknya berdasarkan tag bernombor di telinga kanan lembu berkenaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Pengadu telah membawa kepala lembu itu pergi ke rumah pemilik kebun iaitu seorang warga emas dengan nama panggilan Rosnita dan bertanyakan mengenai kejadian berkenaan serta merakam perbualan mereka menggunakan telefon bimbitnya.

“Rosnita mengaku lembu milik pengadu telah disembelih oleh menantu rakannya dan daging haiwan terbabit diagihkan kepada penduduk kampung berkenaan selepas geram ternakan itu telah memakan tanaman pokok durian miliknya,” katanya kepada pemberita, hari ini.



Tambahnya, pengadu juga mendakwa kira-kira 20 ekor lembu ternakan miliknya telah hilang sebelum ini dan mengesyaki ia juga merupakan angkara Rosnita kerana haiwan berkenaan lazimnya melalui kawasan tanah kebun milik warga emas terbabit.

“Kali terakhir pengadu melihat kesemua ternakan sebanyak 84 ekor adalah pada 4 Julai kira-kira pukul 8 pagi semasa melepaskan ternakan keluar dari kandang dan hanya 83 yang ada ketika dihalau pulang.

“Kebiasaannya ternakan lembu pengadu akan melalui laluan tepi sungai berdekatan tanah kebun Rosnita. Tiada rakaman televisyen litar tertutup, sebaliknya hanya pengakuan secara lisan oleh wanita terbabit melalui rakaman direkodkan,” ujarnya.

Katanya, susulan itu kedua-dua suspek telah diberkas kira-kira pukul 7.30 petang pada Sabtu lalu dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/428 Kanun Keseksaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button