‘Pelakon itu mungkin hadir beri keterangan hari ini’

Oleh – Syeikh Baran


‘Pelakon itu mungkin hadir beri keterangan hari ini’
Gambar Hiasan

Seorang pelakon lelaki akan dipanggil bagi dirakam keterangannya berhubung dakwaan memukul kekasihnya di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini selepas pihaknya telah mendapat kebenaran Perintah Untuk Menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya selepas membuat permohonan sebelum ini.



“Ya, kita sudah dapat (OTI) bagi tindakan selanjutnya. Proses siasatan lanjut ke atas pelakon itu masih sedang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar perasmian program Anak Syurga di Dewan Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya telah menghubungi pelakon berkenaan supaya memberi keterangan.

“OTI sudah dapat dan pelakon itu mungkin hadir hari ini bagi tujuan tersebut. Setakat ini, kita telah merakam keterangan kakak mangsa sebagai saksi dan menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kosmo sebelum ini melaporkan seorang wanita dipukul kekasihnya yang juga pelakon lelaki selepas didapati keluar dengan kakaknya tanpa izin.

Wanita berusia 25 tahun yang merupakan seorang peniaga sudah menjalinkan hubungan dengan suspek sekitar lapan bulan lalu.



Kejadian berlaku apabila mangsa dihubungi pelakon berusia 37 tahun itu ketika keluar bersama kakaknya sekitar pukul 3 pagi.

Lelaki itu kemudian didakwa bertindak memarahi dan menumbuk mata kiri serta badan mangsa. Kes berkenaan disiasat mengikut 323 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO!ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button