Abang cuba ‘scam’ adik konon gagal bayar hutang Along

Oleh – Syeikh Baran


Abang cuba 'scam' adik konon gagal bayar hutang Along
Ahmad Amsyar Hamizan dituduh di Mahkamah Butterworth. FOTO DANIAL SAAD

Pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan cuba menipu adik lelakinya kononnya dia ditahan Along kerana gagal membayar hutang berjumlah RM35,000 pada Sabtu lalu.

Tertuduh Ahmad Amsyar Hamizan Ahmad Azmir, 19, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menipu adik lelakinya berusia 17 tahun bahawa dia ditahan Along dengan tujuan supaya adiknya memindahkan wang berjumlah RM35,000 ke dalam milikannya.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Kampung Guar Kepayang, Sungai Dua dalam daerah Seberang Perai Utara pada 10.13 malam 6 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.



Manakala bagi hukuman cubaan menipu boleh dipenjara separuh daripada hukuman terbabit .

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati pengadu sehingga kes selesai.



Kes akan disebut semula pada 2 September ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button