Dua beradik maut lemas hidu asap, ibu kritikal
Oleh – Syeikh Baran
Dua beradik maut, manakala ibu mereka pula kritikal selepas terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota, di sini, hari ini.
Mangsa, Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan adiknya, Nur Riaisha Zahra, 2, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kebakaran disedari pukul 1.30 tengah hari oleh pemilik kedai di tingkat bawah yang kemudian menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan.
“Suami isteri itu melihat asap tebal masuk ke dalam bilik dan segera menyelamatkan diri sebelum dibawa ke Hospital Melaka.
“Hasil pemeriksaan dalam bangunan, bomba mengesan dan mengeluarkan tiga mangsa iaitu dua kanak-kanak dan ibu mereka yang terperangkap di tingkat tiga. Tiga beranak itu dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, dua beradik itu kemudiannya disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap tebal kebakaran, manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, kritikal.
Hasil soal siasat saksi memaklumkan tingkat satu sehingga tiga premis itu mempunyai beberapa buah bilik sewa, namun penyewa lain dipercayai keluar bekerja semasa kejadian.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 1.33 tengah hari dan jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus menerima maklumat, kita menggerakkan 40 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian dan sehingga kini kerja pemadaman masih dijalankan.
“Kita percaya mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal. Pasukan menghadapi kesukaran memadam kerana api merebak selain setiap tingkat bangunan dipenuhi asap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sumber – KOSMO! ONLINE