Ibu tiga anak antara tiga staf PBT didakwa ambil rasuah

Oleh – Syeikh Baran


Penjawat Awam, pertuduhan, Kes rasuah
TERTUDUH didakwa menerima suapan antara RM200 sehingga RM2,500 daripada sebuah syarikat pengiklanan sejak 2022. – foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

Seorang ibu tiga anak dan dua rakan sekerja kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat pengiklanan, sejak dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh Suhana Surin, 43; Mohd. Rozaiman Rahmat, 45, dan Patrick Tan Peng Sin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.



Suhana yang merupakan Pembantu Tadbir di Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dihadapkan dengan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,900.

Sementara itu, Mohd. Rozaiman yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Unit Penguatkuasaan didakwa dengan tiga pertuduhan membabitkan nilai RM2,900, manakala Patrick yang merupakan Pegawai Khidmat Pelanggan berdepan dua pertuduhan dengan nilai suapan RM5,000.

Kesemua tertuduh didakwa menerima suapan tersebut daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma melibatkan jumlah keseluruhannya RM9,800 antara 20 Mac 2022 sehingga 19 April 2023 di dalam daerah Alor Gajah.

Suapan itu adalah bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan ditawarkan di PBT tersebut.



Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Suhana yang diwakili Peguam Muhammad Denial Khairul Hizam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia merupakan ibu tiga orang anak berusia antara 21, 13 dan 6 tahun yang kesemuanya masih bersekolah.

Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam masing-masing merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mereka tidak mampu membayar jaminan yang dicadangkan selain menanggung keluarga, termasuk bapa dan ibu mentua.



Selepas mendengar hujah kedua belah Elesabet kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah, jika ada.

Beliau turut menetapkan tarikh 13 Ogos bagi sebutan semula dan serahan dokumen untuk tertuduh Rozaiman dan Patrick, manakala tarikh 22 Ogos ditetapkan bagi Suhana.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button