Influencer miliki Porsche Carrera 911 4S Cabriolet, Range Rover
Oleh – Syeikh Baran
Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh popular didakwa memiliki kenderaan mewah model Porsche Carrera 911 4S Cabriolet dibeli pada tahun 2022.
Berdasarkan hantaran video dimuat naik di Instagram wanita itu pada 3 Disember 2022, dia memaklumkan ia adalah satu lagi pencapaiannya sebelum masuk tahun 2023.
“Alhamdulillah ala kulli hal, haza min fadhli Rabbi. Dari kecil suka tengok kereta ni. Selalu doa ‘semoga satu hari nanti ada kereta ni’.
“Semoga segala nikmat menjadikan sentiasa rendah diri, lebih bersyukur dan tidak lupa diri. Terima kasih untuk semua yang ada dalam jalan cerita hidup dari dulu sampai sekarang,” katanya pada hantaran tersebut.
Pada 12 Disember 2022 pula, wanita itu turut memuat naik satu video penceritaan yang mana sebelum ini mereka menggunakan Perodua Myvi sewaktu awal kehidupan sebagai suami isteri.
“2017 bermula dengan Perodua Myvi, suami hantar pergi pondok dan kita orang penuhkan stok-stok buku dalam Myvi tu. Hantar barang ‘postage’ dengan Myvi. 2018 lepas setahun buat buku, Allah beri kereta (gambar Honda Civic) lebih selesa dan buka syarikat (hijab).
“Setahun lepas buka (syarikat), 2019 baru Allah beri kereta lebih selesa (gambar Mercedes-Benz) dan semua ni milik Allah. Cantik sangat Allah atur hidup kami,” katanya.
Berdasarkan perkongsian mereka di media sosial, pasangan suami isteri tersebut menjalankan perniagaan butik tudung serta buku.
Wanita itu bercerita, Allah memberi rezeki kepada mereka pada tahun 2020 dan dia memuat naik gambar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
“Semua bukan usaha kami sahaja, tapi doa kalian dan keredaan daripada Allah. Kayanya Allah ni bila Allah bagi, Allah takkan kedekut. Yang penting kita kena yakin, kena letak dalam diri semua milik Allah,
“Tahun 2022 lebih baik lagi Allah bagi (gambar Range Rover), tapi biasanya bila kita ada lebih sikit, orang akan cari salah kita. Tapi tak apa jangan putus semangat, orang tak nampak ‘struggle’, usaha, penat tak tidur malam, yang nampak hanya Allah sahaja.
“Dan 2022 (gambar Porsche Carrera 911 4S Cabriolet) Allah bagi lebih baik lagi yang tak pernah kita sangka-sangka. Semua ni kekayaan Allah bukan kita, bukan sesiapa pun, semua milik Allah. Yang penting terus buat baik cari keredaan Allah,” ujarnya.
Pada hantaran itu juga, dia memaklumkan kereta Mercedes-Benz tersebut telah dijual kepada pemilik baharu.
Sumber – KOSMO! ONLINE