Padah ‘wheelie’ di jalan raya, pemuda akhirnya ditahan polis

Oleh – Syeikh Baran


Padah ‘wheelie’ di jalan raya, pemuda akhirnya ditahan polis
Tangkap layar aksi ‘wheelie’ penunggang motosikal terbabit yang dirakam oleh individu lain.

Seorang penunggang motosikal ditahan selepas video aksi ‘wheelie’ di jalan raya sekitar Jalan Persiaran Kemajuan Bandar Baru Bangi, di sini, dikesan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video suspek menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan itu pada pukul 7.24 malam semalam.



Menerusi video berdurasi 17 saat yang asalnya dimuat naik di Instagram, suspek bertindak melakukan aksi berbahaya itu dicelah-celah kereta yang sedang bergerak melalui dua lorong sehala.

“Bertindak di atas rakaman video tular tersebut, kita mengesan dan membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

“Suspek telah direman sehari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Khairul Ismail di talian 011-3321 0917.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan berhemah, tidak melakukan aksi-aksi bahaya yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain serta sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas,” pesannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button