Pemandu didakwa mabuk sebabkan kematian kerani, remaja

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu didakwa mabuk sebabkan kematian kerani, remaja
TERTUDUH yang sebelum ini memberi keterangan matanya mengalami silau sehingga menyebabkan nahas maut didakwa hari ini kerana memandu dalam keadaan mabuk. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

Seorang pembantu kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal, tahun lalu.

Tertuduh, Yong Sang Ken, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.



Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu sebuah kenderaan bernombor pendaftaran MAU5471 telah memandu di bawah pengaruh alkohol di dalam darah dan menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan dua kematian penunggang motosikal.

Dua mangsa terlibat terbabit ialah Iman Nur Azrin Noriman, 18, yang merupakan pekerja di sebuah kedai perabot dan kerani, Nurul Rahimah Abdul Samad, 32.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.30 pagi di Jalan Pulau Gadong, dalam daerah Melaka Tengah pada 17 Julai 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM10,000 mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999)



Individu yang disabitkan bersalah juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sebutan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button