Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah amang seksual terhadap anak tiri
Oleh – Syeikh Baran
Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri lelaki berusia enam tahun, April lalu.
Tertuduh, 33, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu di sebuah rumah di sini, 9 malam, 6 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan membantah jaminan atas alasan tertuduh dikhuatiri mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain.
Begitupun, beliau mencadangkan ikat jamin RM30,000 ke atas tertuduh jika mahkamah ingin membenarkan jaminan berserta syarat tambahan.
Peguam, Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Katanya, anak guamnya sudah bercerai dengan ibu mangsa dan akan menetap bersama bapanya di Krubong yang jauh dari mangsa.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi dan berada di tempat tinggal mangsa sehingga kes selesai dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sebutan semula ditetapkan pada 15 Ogos depan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan serahan dokumen.
Sumber – HARIAN METRO