Wanita minta suami orang bertanggungjawab di media sosial
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah klip video tular di media sosial di Indonesia memaparkan pengakuan seorang wanita yang meminta suami orang untuk bertanggungjawab atas kehamilannya, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh @mimi.julid, wanita itu dilihat mengenakan baju corak bunga dan tudung berwarna ungu.
Dia tidak menyatakan nama penuh lelaki tersebut, namun hanya mendedahkannya sebagai RG.
Lebih mengejutkan apabila dia sanggup menjadi isteri kedua dan tidak mahu berebut suami.
“RG, tolong. Sebagai seorang yang bukan mahram, saya sangat menyesali perbuatan saya. Saya tidak mahu berebut, saya sudah bersiap sedia untuk menjadi isteri kedua.
“Suami anda telah menghamilkan anak perempuan orang lain. Jangan menghalang dia untuk bertanggungjawab atas darah dagingnya,” kata wanita itu.
Perbuatan seolah-olah tidak mempunyai rasa malu itu menimbulkan kemarahan netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan wanita tersebut.
“Adakah anda tahu kalau anda juga telah merosakkan rumah tangga orang lain dan mungkin menjejaskan kesihatan mental anak orang?” kata seorang pengguna laman sosial.
“Dari awal tahu itu adalah suami suami orang? Tetapi tetap mahu. Sekarang menangis seperti mangsa,” kata netizen lain. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE