Bapa Baby Syifaa didakwa songlap RM67,000
Oleh – Syeikh Baran
Bapa kepada Baby Syifaa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM67,000 tahun lalu.
Tertuduh Yuseri Yusoff, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Yuseri didakwa telah dengan curangnya menyalahguna harta RM67,000 kepunyaan seorang wanita.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Delima Wangsa Delima 6, Pusat Bandar Wangsa Maju, Wangsa Maju di sini antara 20 Julai hingga 12 Oktober 2023.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi sebutan kes seterusnya.
Bagaimanapun peguam Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menngurangkan ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya pempengaruh yang tidak mempunyai pendapatan tidak tetap
“Tertuduh menanggung seorang anak berusia sembilan tahun, hanya bekerja sebagai influecer dengan pendapatan yang tidak tetap. Mohon kadar jaminan paling minima diberikan,” kata peguam itu.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Illi Marisqa kemudian membenarkan Yuseri diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 26 Ogos ini ditetapkan sebutan semula kes.
Semalam Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, lelaki berusia 41 tahun tersebut didakwa selepas mendapat arahan pertuduhan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan lelaki tersebut ditahan di ibu negara oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Aktivis yang memperjuangkan kes penganiayaan itu didakwa menyeleweng wang sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada akaun syarikat YY Community Center.
Bekas peguam pemerhati keluarga Baby Syifaa, Hafiz Norkhan juga menafikan wang itu digunakan untuk memulakan kerja bagi mewakili kes bahkan tidak mengetahui namanya digunakan dan hanya menyedari perkara itu selepas diberitahu oleh mangsa dan pengadu lain sebelum membuat laporan polis berkenaan isu itu.
Sebelumnya, kes kematian Baby Syifa meraih simpati daripada orang ramai setelah bayi tersebut disahkan meninggal dunia kerana lehernya tersangkut pada buaian ketika tidur di pusat asuhan pada 22 Februari 2022.
Sumber – KOSMO! ONLINE