Kaki Mok Su melecur, terperangkap dalam rumah terbakar

Oleh – Syeikh Baran


Kaki Mok Su melecur, terperangkap dalam rumah terbakar
Anggota bomba menjalankan siasatan di rumah seorang warga emas yang terbakar dalam kejadian di Kampung Bukit, Wakaf Bharu dekat Tumpat semalam. (Gambar kecil: Allahyarham Halimah atau Mok Su) – Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

Bahagian kaki wanita warga emas yang maut dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Kampung Bukit, Wakaf Bharu di sini malam tadi melecur selepas terperangkap di dalam kediaman tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Halimah Awang, 85, tinggal seorang diri di rumah tersebut.



Jiran mangsa, Nur Ain Abdullah, 29, berkata, kebakaran berlaku ketika kampung itu dilanda ribut petir dan hujan lebat bermula pukul 7.30 malam dan kebanyakan rumah penduduk terputus bekalan elektrik.

“Saya dan ahli keluarga keluar ke halaman rumah sebelum melihat api seperti kejadian kebakaran dari rumah Mok Su (Halimah) yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah kami.

“Pada mulanya saya menyangka rumah bapa saudara terbakar, tetapi apabila abang ipar dan adik lelaki pergi melihat secara dekat rupanya rumah arwah Mok Su,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Nur Ain memberitahu, dia terus bergegas ke rumah mangsa sebelum melihat anak arwah, Che Rahim Che Soh, 67 dan anaknya, Che Siti Hajar, 24, cuba masuk ke dalam rumah terbakar untuk menyelamatkan warga emas itu.



Menurutnya, abang ipar bersama ahli keluarga mangsa kemudian memecahkan tingkap bilik tidur untuk masuk menyelamatkan mangsa, tetapi terhalang dengan jeriji.

Katanya, dia turut mengelilingi rumah tersebut dengan memanggil nama mangsa, namun tiada sahutan sehingga menyebabkan semua ahli keluarga panik lebih-lebih lagi api semakin marak di bahagian ruang tamu.

Kosmo! Online hari in melaporkan, seorang wanita warga emas maut selepas rumahnya di Kampung Bukit, Wakaf Bharu, di sini malam tadi terbakar.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button