MyCC kaji dakwaan ada kartel dalam industri padi, beras negara

Oleh – Syeikh Baran


MyCC kaji dakwaan ada kartel dalam industri padi, beras negara
Gambar Hiasan

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) masih menjalankan kajian terhadap industri padi dan beras di dalam negara termasuk berhubung dakwaan bahawa wujudnya kartel di dalam industri tersebut.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, pihaknya menyambut baik kajian yang sedang dijalankan dan menegaskan tidak akan mencampuri sebarang urusan kajian yang dilakukan oleh MyCC.



Jelas KPKM, dalam perkara ini, kementerian telah memberikan kerjasama penuh dengan memberikan segala maklumat dan maklum balas lanjut dari semasa ke semasa kepada pihak MyCC.

“KPKM mengulangi pendirian bahawa tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan kartel padi beras sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010 [Akta 712] serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

“KPKM masih menunggu hasil kajian yang dijalankan oleh MyCC dan menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkannya kepada pihak MyCC untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk kepada artikel terbitan akhbar tempatan berbahasa Inggeris bertajuk ‘The broken rice story’ yang disiarkan di dalam talian dan cetak pada semalam.



Tambah kenyataan itu, susulan daripada Mesyuarat NACCOL Bil. 1/2024 pada 19 Mac lalu, kementerian telah diminta untuk meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

“Ini bagi memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kebajikan pesawah dan kepentingan pengguna serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara,” ujarnya.

Kebajikan pesawah terus menjadi keutamaan KPKM dengan meneruskan insentif dan subsidi merangkumi subsidi input termasuk baja, benih dan racun.

“Kerajaan juga telah menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 hingga RM500, harga lantai
belian padi daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik dan Insentif Pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar serta memperkenalkan Insentif Penuaian pada kadar RM50 per hektar,” katanya.



KPKM menambah, pada masa ini, perbincangan bersama pemegang-pemegang taruh sedang dijalankan dan
pihaknya berharap dapat memuktamadkan cadangan serta perincian bagi mencari penyelesaian terbaik isu padi dan beras seperti yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 23 Feb lepas, Anwar dilapor berkata, beliau mahu penguatkuasaan dipertingkatkan bagi menjamin keberadaan beras dalam pasaran serta memastikan tidak ada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berebihan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button