Pekerja dobi, rakan dituduh lacur kanak-kanak bawah umur

Oleh – Syeikh Baran


Pekerja dobi, rakan dituduh lacur kanak-kanak bawah umur
SHAKILA (kanan) dan remaja perempuan bawah umur (dua dari kanan) diiringi polis ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kangar hari ini.

Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan memperdagangkan dua remaja bawah umur bagi tujuan eksploitasi seksual bulan lalu.

Tertuduh pertama, Shakila Latiff, 25, merupakan pekerja dobi dan tertuduh kedua, seorang remaja bawah umur berusia 17 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.



Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun bagi tujuan eksploitasi seks pada 2 Julai lalu di bilik 309, sebuah hotel di Persiaran Jubli Emas, Kangar pada pukul 6.20 petang.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun bagi tujuan eksploitasi seks pada 2 Julai lalu di bilik 301, sebuah hotel di Persiaran Jubli Emas, Kangar pada pukul 6.25 petang.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudiannya memaklumkan bahawa beliau memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh untuk membuat rayuan pengurangan kadar ikat jamin.



Beliau kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM25,000 masing-masing seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Selain itu, kedua-dua tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain tidak menghampiri dan menganggu mangsa mahkamah.

Musyiri turut menasihatkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Ogos depan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button