Pensyarah kanan didakwa buat tuntutan palsu hampir RM23,000

Oleh – Syeikh Baran


Pensyarah kanan didakwa buat tuntutan palsu hampir RM23,000
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didakwa membuat tuntutan palsu di Kuantan hari ini.

Seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan nilai hampir RM23,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, Abd. Aziz Mohd. Azoddein, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail.



Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan prinsipalnya iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan mengemukakan dokumen palsu pembelian bahan bekalan untuk penyelidikan dan bayaran penginapan.

Dokumen palsu berkenaan adalah bagi sebuah program atas nama Gomogi Consulting dan perakuan penerimaan bahan untuk kegunaan program atas nama Greentel Solution Enterprise yang mana butiran tersebut tidak wujud dengan nilai keseluruhan RM22,866.20.

Mengikut pertuduhan pilihan pula, Abd. Aziz didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu pembelian bahan bekalan untuk kegunaan penyelidikan, bayaran penginapan bagi sebuah program dan pembelian bahan bekalan untuk kegunaan program.

Bapa kepada enam anak itu didakwa melakukan kesemua kesalahan terbabit pada 15 Disember 2020 dan 15 Disember 2021 bertempat di Jabatan Bendahari UMP, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Asyraf Mohamed Tahir dan Riffah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.



Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman merayu agar wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh yang masih berkhidmat dengan pendapatan bulanan sebanyak RM10,000 perlu menyara seorang isteri dan dua anak yang masih belajar, abang yang lumpuh serta anak saudara yang merupakan ibu tunggal.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan sebagaimana yang dipohon pihak pendawa raya. Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button