Remaja maut, rakan cedera motosikal bertembung lori

Oleh – Syeikh Baran


Remaja maut, rakan cedera motosikal bertembung lori
Lokasi kemalangan membabitkan motosikal dan lori di kilometer 20 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Gua di Lipis, petang semalam.

Seorang pelajar sekolah maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 20 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Gua di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, pembonceng motosikal, Nor Arisya Husniyah Azli Hisham, 14, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal, Nur Alana Damia Kamarul Azmi, 14, mengalami kecederaan.



Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Gua menghala ke Padang Tengku di sini selepas habis kelas mengaji.

“Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia 58 tahun dalam perjalanan dari arah Ladang Selborne di sini hendak balik ke rumahnya di Kampung Selindang di sini.

“Apabila sampai di tempat kejadian di simpang tiga, motosikal yang dinaiki dua sahabat berkenaan bertembung dengan lori yang sedang bergerak di laluan terus,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian, pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan.



Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

“Kita meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button