Sembunyi di sebalik kondo mewah, sindiket penipuan tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Sembunyi di sebalik kondo mewah, sindiket penipuan tumpas
Mohamad Lazim ketika menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar berhubung kegiatan penipuan atas talian di IPD Wangsa Maju. – Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Berselindung di sebalik kondominium mewah yang memiliki kawalan keselamatan 24 jam merupakan taktik sindiket pelaburan tidak wujud menjalankan operasinya di Jalan Ampang, di sini, sejak tiga bulan lalu.

Menyasarkan mangsa dipercayai dari luar negara seperti Korea dan Amerika Syarikat, sindiket ini akan menjemput para pelabur ke dalam laman sesawang dikenali sebagai Polyx sebelum dijanjikan 1.5 peratus keuntungan daripada keseluruhan pelaburan.



Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, bagaimanapun selepas seminggu, kesemua mangsa tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan seperti yang dijanjikan

Sehubungan itu, katanya, dua unit kondominium tersebut diserbu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, kelmarin.

“Dua serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 6 petang itu menahan 16 orang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang wanita warga asing berusia lingkungan 22 hingga 27 tahun.

“Kesemua mereka ini adalah ahli sindiket. Rata-rata menerima bayaran bermula RM3,000 sebagai komisen sebulan, bergantung pada prestasi pekerjaan.

“Setakat ini jumlah kerugian kita tidak terima lagi sebab tiada laporan daripada rakyat Malaysia. Pemilik sebenar premis juga masih sedang disiasat,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, kelmarin.



Selain itu, tambah Mohamad Lazim, pihaknya juga merampas 62 jenis peralatan terdiri daripada 18 set komputer, 43 unit telefon pelbagai jenama dan sebuah unit router yang disyaki kegunaan kegiatan penipuan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Wangsa Maju tidak akan berhenti dalam memerangi sindiket ‘calling centre’ berkaitan sindiket pelaburan tidak wujud.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak syarikat dengan agensi berkaitan sebelum melakukan pelaburan untuk mengelakkan daripada tertipu,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button