BN Kelantan dibenar umum awal calon PRK DUN Nenggiri
Oleh – Syeikh Baran
Badan Perhubungan UMNO Kelantan diberi ‘lampu hijau’ untuk mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri lebih awal menjelang hari penamaan calon pada 3 Ogos depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Biro Politik UMNO telah memuktamadkan calon yang akan ditampilkan parti itu untuk bertanding dalam PRK DUN tersebut yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos depan.
“Biro politik (UMNO) telah menerima senarai pendek (calon PRK DUN Nenggiri) daripada Ketua UMNO Gua Musang (Tan Sri Razaleigh Hamzah) yang menyalurkan nama itu menerusi Badan Perhubungan UMNO negeri (Kelantan).
“Saya (dengan bantuan Biro Politik UMNO) telah buat keputusan (calon BN PRK DUN Nenggeri) dan serahkan kepada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad Jazlan dilaporkan telah mencadangkan agar BN mengumumkan calon BN bagi PRK DUN Nenggiri lebih awal berbanding kelaziman beberapa hari sebelum penamaan calon.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu bagi memberi ruang kepada calon yang mahu ditampilkan tersebut membuat persiapan awal bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Nenggiri.
Ahmad Zahid berkata, pengumuman calon BN bagi PRK DUN Nenggiri berkenaan akan diumumkan sendiri oleh Ahmad Jazlan dalam masa terdekat.
Kosmo! 29 Jun lalu melaporkan SPR menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi DUN tersebut pada 18 Jun lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE