Calon UMNO di Nenggiri orang muda, bukan datang dari ‘langit’
Oleh – Syeikh Baran
UMNO akan mencalonkan orang muda sebagai taruhan untuk menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan berlangsung 17 Ogos ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, selain mempunyai pengalaman luas di lapangan serta mendapat sokongan penduduk setempat, individu itu juga mesti datang dari akar umbi dan bukannya dari ‘langit’.
“Calon kita kali ini mesti orang muda yang datang dari akar umbi dan bukan datang dari langit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Paya Lebar di sini, hari ini.
Jelasnya, pertelagahan sesama pemimpin juga adalah antara kelemahan yang dikesan dalam parti, sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan hingga kini.
Menurutnya, bibit-bibit awal rakyat mula menyampah dengan sikap pemimpin dan ahli UMNO telah diterjemahkan pada PRU12, apabila Barisan Nasional (BN) gagal mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Kenapa UMNO daripada sebuah parti yang mendominasi kerajaan selama 11 penggal tiba-tiba runtuh, sedangkan kita melahirkan ratusan ribu pemimpin sejak mencapai kemerdekaan.
“Sebenarnya kita tidak boleh salahkan orang lain tetapi sebaliknya kita harus salahkan diri sendiri. Ingin saya tekankan ini adalah salah kita semua,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE