‘Mohon senaraikan nama ustaz, ustazah bertauliah, elak penunggang agama’
Oleh – Syeikh Baran
Sejak kebelakangan ini, pelbagai dakwaan dikaitkan dengan golongan pendakwah termasuklah ada yang dikatakan gemar berkongsi hadis palsu serta turut berkelakuan tidak sopan.
Sehubungan itu, orang ramai mencadangkan agar pihak berwajib terutama melibatkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menyenaraikan nama-nama pendakwah yang bertauliah serta sesuai untuk dirujuk di setiap negeri.
Cadangan tersebut disuarakan menerusi hantaran yang dimuat naik pengguna media sosial selepas tular isu seorang ‘ustaz’ memaksa seorang wanita mengaktifkan kamera sebelum dibenarkan sertai sesi pembetulan ayat al-Quran dalam satu sesi siaran langsung di TikTok.
Kata ‘ustaz’ terbabit, arahan tersebut bertujuan untuk melihat pergerakan bibir wanita terbabit agar sebutan huruf lebih menepati syarak.
Namun begitu, wanita berkenaan tetap memilih untuk tidak mengikuti permintaan supaya dia menunjukkan wajahnya di dalam sesi tersebut.
Wanita itu malah merayu kepada ustaz yang dia mahu menyemak bacaan surah al-Fatihah tanpa membuka kamera kerana ada peserta sebelumnya yang boleh berbuat sedemikian.
Bagaimanapun, ramai mempersoalkan kredibiliti ‘ustaz’ tersebut serta cara beliau memberi tunjuk ajar terutamanya kepada golongan wanita.
Sumber – KOSMO! ONLINE