Pemandu mabuk rempuh anggota polis Johor

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu mabuk rempuh anggota polis Johor
ANGGOTA polis yang cedera diberi rawatan awal selepas dirempuh seorang pemandu mabuk ketika sedang bertugas mengawal lalulintas di Jalan Pantai, Johor Bahru, pagi tadi.

Seorang anggota polis cedera parah selepas dirempuh seorang pemandu mabuk ketika sedang melakukan tugas pengawalan trafik di Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke arah Permas Jaya, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 7.05 pagi.



Menurut beliau, anggota yang berusia 30-an itu mengalami kecederaan patah tulang pinggul sebelah kiri selain luka di bahagian muka, dagu dan tangan sebelah kanan.

“Kemalangan itu berlaku ketika anggota sedang membuat kawalan lalu lintas melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di kawasan tersebut.

“Semasa proses penundaan dilakukan, sebuah Proton Wira dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis berkenaan.

“Akibat kemalangan tersebut, anggota telah tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira tersebut sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.



Tambah Raub, pemandu Proton Wira yang merupakan lelaki tempatan berusia 30-an pula mengalami kecederaan luka di tangan kiri.

“Ujian pernafasan dibuat terhadap pemandu berkenaan mendapati dia berada di bawah pengaruh alkohol, manakala negatif dadah bagi ujian saringan air kencing,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button