Bakal pengantin curi duit, arak kena jel 4 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Bakal pengantin curi duit, arak kena jel 4 tahun
S. NERVIN RAO (tengah) dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini selepas mengaku bersalah merompak wang tunai dan dua tin minuman keras minggu lalu.

Seorang lelaki yang bakal berkahwin bulan depan terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat tahun atas kesalahan merompak wang dan dua tin minuman keras di sebuah kedai serbaneka minggu lalu.

Tertuduh, S. Nervin Rao, 33, turut dijatuhi hukuman satu sebatan selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Intan Nurul Farena Zainal Abidin hari ini.



Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas lelaki itu berjalan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Julai lalu.

Tertuduh yang bekerja di kedai cuci kereta melakukan rompakan wang tunai RM145 dan dua tin minuman keras di kaunter 7-Eleven Jalan Bandar, Teluk Intan pada pukul 5.14 pagi, 9 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebatan.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dua tin minuman keras pada pukul 4.15 pagi di lokasi dan tarikh sama.



Tertuduh yang membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret T. Ashvinii kemudiannya dijatuhi hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh jatuh hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar dan Izzudin Fakri Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Faustina Francis.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button