Bicara kes Razali Idris: Laporan polis hendak bersihkan nama SPRM – Pengadu

Oleh – Syeikh Baran


Bicara kes Razali Idris: Laporan polis hendak bersihkan nama SPRM – Pengadu
Razali (tiga dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

Seorang Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris bertujuan untuk membersihkan nama SPRM.

Ia berhubung satu ceramah yang dibuat Razali pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman pada 10 November 2023.



Muhamad Adib Azami, 40, berkata kandungan ceramah yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, ada menyatakan jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim telah dikawal oleh kerajaan (Perdana Menteri Ke-10) yang memerintah negara ini.

“Selain itu, Datuk Razali Idris juga ada mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Abdul Rahman atas empat pertuduhan yang mana saya percaya ianya bersifat menghina keputusan Mahkamah,” kata saksi pendakwaan kedua
itu dalam pernyataan saksinya.

Hujahan lanjut dalam pernyataannya itu, Muhamad Adib yang juga pengadu dalam kes ini menegaskan sebagai seorang pegawai SPRM yang membuat siasatan terhadap Syed Saddiq, kes tersebut telah disiasat dengan telus.

Katanya, beliau percaya keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman terhadap Syed Saddiq adalah dibuat secara telus dan tiada penglibatan atau pengaruh daripada mana-mana pihak.



Terdahulu saksi pendakwaan kedua itu memberitahu beliau telah membuat laporan polis pada 15 November tahun lalu bertujuan untuk membersihkan nama SPRM selepas terlihat hantaran mengenai ceramah tersebut di aplikasi TikTok sehari sebelum itu.

Sementara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal durasi ceramah dibuat oleh Razali yang dilihat dalam TikTok, saksi itu memberitahu beliau melihatnya lebih kurang dua minit.

Pendakwaan: Di dalam video TikTok itu, ada atau tidak orang lain selain YB?
Muhamad Adib: Saya tidak pasti kerana saya memfokuskan Datuk (Razali).

Pendakwaan: Bagaimana tahu YB itu adalah Razali?

Muhamad Adib: Sebab di kapsyen TikTok ada nama datuk YB Razali Idris.



Dalam pada itu ketika pemeriksaan balas semasa ditanya peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud sama ada laporan polis itu dibuat tidak mewakili SPRM, Muhamad Adib menjawab, Ya.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa semasa membuat laporan polis itu tidak ada sebarang arahan daripada SPRM atau mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali bersambung lagi pada 27 September ini.

Pada 24 November tahun lalu, Razali, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan kenyataan menghasut yang menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan dalam sebuah ucapan.



Mengikut pertuduhan, Razali didapati telah menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 10 November tahun lalu.

Justeru pendakwaan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
 
Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button