Lantik syarikat isteri kontrak pembekalan lebih RM200,000

Oleh – Syeikh Baran


Lantik syarikat isteri kontrak pembekalan lebih RM200,000
Pasangan suami isteri yang ditahan disyaki mendapatkan kerja-kerja pembekalan bernilai lebih RM200,000 hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan pasangan suami isteri disyaki terlibat mendapatkan kerja-kerja pembekalan bernilai lebih RM200,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an ditahan di pejabatnya kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, manakala isterinya berusia sekitar 30-an turut ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi di kediamannya di sebuah daerah di Terengganu.



“Siasatan awal mendapati pasangan tersebut dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2022 sehingga 2023 dengan melibatkan beberapa jenis kerja pembekalan yang berbeza.

“Suspek lelaki yang bertugas di sebuah agensi di negeri ini disyaki menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga milik syarikat isterinya bagi membolehkan syarikat isterinya itu mendapat kerja-kerja pembekalan di tempat kerjanya bernilai kira-kira RM200,000,” katanya.

Kata sumber, SPRM Terengganu kini sedang meneliti kerja-kerja pembekalan lain yang diperolehi oleh syarikat terbabit dari agensi berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.



Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan ada tangkapan susulan selepas ini.

Kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok pagi untuk mendapatkan permohonan reman.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button