Lelaki OKU hilang ditemui maut terjatuh dari pencawang elektrik
Oleh – Syeikh Baran
Dilaporkan hilang di kawasan Kampung Lot M sejak 13 Julai lalu, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik pagi tadi.
Mayat mangsa dikenali sebagai Khairil Anuar Mustapa, 31, ditemukan pada pukul 10.52 pagi oleh orang awam kira-kira 350 meter dari rumah mangsa.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik. Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ketika hendak menuju ke kedai milik neneknya di Kampung Lot M.
Sumber – KOSMO! ONLINE